DUBAI: Seorang lelaki Perancis yang terkenal kerana gemar memanjat bangunan tinggi berjaya memanjat struktur tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa di Dubai setinggi 828 meter, walaupun angin kencang menyebabkannya menangguhkan usaha itu selama beberapa jam.
Alain Robert, 48, yang juga dikenali sebagai ‘Spiderman’ Perancis, mengambil masa enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu, menggunakan tali dan ‘harness’ seperti ditetapkan penganjur.
Robert mengakui, penggunaan peralatan keselamatan terbabit dan kehadiran ramai orang yang berhimpun untuk menyaksikan cubaannya menjadikannya berasa lebih gemuruh.
“Sebenarnya saya rasa lebih banyak tekanan kerana saya tahu bahawa mereka menyiapkan semuanya untuk saya. Mereka juga memasang skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter.
“Saya tahu semua orang melihat ke arah saya, jadi saya berasa sedikit tertekan,” kata Robert sebelum memulakan aktiviti berbahaya terbabit.
Sebuah ambulans dan pengusung ada di tepi bangunan bersama kenderaan bantuan lain sebagai persediaan kejadian tidak diingini berlaku.
Robert pernah ditangkap beberapa kali di beberapa negara kerana pihak berkuasa tidak memberikan kebenaran untuk beliau memanjat bangunan yang disifatkan bahaya.
Robert mula memanjat sebuah bangunan ketika berusia 12 tahun ketika terperangkap di apartmen dan kemudian memutuskan untuk memanjat bangunan setinggi lapan tingkat bagi membuka tingkap untuk keluar.
Sejak itu beliau memanjat lebih 80 bangunan di seluruh dunia termasuk Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Sears Tower di Chicago dan Taipei 101 di Taiwan. – AP/Agensi
'Spiderman' Panjat Bangunan Tertinggi Burj Khalifa
Labels:
Berita
+ comments + 1 comments
Salam bro,
Berani sungguh ye mamat ni.Dah puas hidupke?
Post a Comment